Wednesday, October 8, 2008

Lawatan MB Ke Baling






BALING : Menteri Besar Kedah, YAB Ustaz Haji Azizan Abdul Razak pada 11 Mei lalu telah mengadakan Lawatan Kerja Rasmi Ke Daerah Baling.

Lawatan beliau yang turut disertai Ahli Parlimen Baling, YB Ustaz Taib Azamudden Md Taib, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kupang, YB Encik Johari Abdullah dan ADUN Kuala Ketil, YB Tuan Haji Md. Zuki Yusof bermula dengan lawatan ke Pejabat Daerah Baling.

YAB Menteri Besar seterusnya menghadiri Majlis Bersama Kakitangan Awam di Dewan Kenangan Tun Abdul Razak sebelum diraikan pada Majlis Kenduri Rakyat di Kg. Jenalik.

Dikesempatan itu juga, Ustaz Azizan turut merasmikan Pejabat Sekretariat Wakil Rakyat Baling di Kupang. Sebagai simbolik kepada perasmian tersebut, Ustaz Azizan telah menyempurnakan acara memotong riben dan menandatangani plak perasmian.

Pada Majlis Bersama Rakyat yang diadakan sebelah petang di Padang Awam Keda, Kupang, YAB Ustaz telah menyerahkan geran tanah kepada 28 penduduk yang layak. Beliau turut menyerahkan sumbangan kerusi roda kepada 20 penerima disamping menyampaikan sumbangan hamper kepada 55 penerima.

Dalam ucapannya, Ustaz Azizan menyentuh hal berkaitan pentadbiran baru dan komitmen Kerajaan Negeri terhadap kepentingan rakyat.

Sementara itu, YB Ustaz Taib Azamudden dalam ucapannya mengalu-alukan kedatangan YAB Menteri Besar ke Daerah Baling.

Menyentuh kerjasama dengan agensi-agensi kerajaan, beliau mengingatkan agar perubahan kerajaan tidak menjadi penghalang kepada kerjasama dua pihak.

“Kita seharusnya menghargai apa yang ditentukan oleh rakyat dalam proses demokrasi. Jika ada jurang yang jauh antara (kerajaan) persekutuan dan (kerajaan) negeri, tak ada rakyat akan dapat manfaat dari perbezaan jurang tersebut,” ujar Ustaz Taib.

Monday, October 6, 2008

PROGRAM TM BERSAMA MASYARAKAT




KUALA KETIL – Telekom Malaysia Berhad (TM) terus meluaskan komunikasinya apabila menganjurkan Program TM Bersama Masyarakat (Printis Kristal) dengan kerjasama Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) Kuala Ketil di Kg. Kuala Samak, 22 Jun lalu.

Pelbagai aktiviti dijalankan pada program tersebut antaranya gotong-royong dan pertandingan mewarna kanak-kanak pra-sekolah. TM menyumbangkan RM9,000 untuk membaikpulih Surau Darul Qur‘an, Kg. Kuala Samak selain peruntukan untuk membina kemudahan tandas. Selain itu, 10 orang fakir miskin turut dipilih menerima sumbangan dari TM.

Pada program berkenaan, masyarakat setempat turut berpeluang berurusan di kaunter-kaunter TM yang dibuka dengan menawarkan pelbagai perkhidmatan TM selain dialog dan menikmati jamuan tengahari. Turut memeriahkan majlis, persembahan nasyid yang disampaikan oleh pelajar-pelajar dari Madrasah Raudhatul Muslimin, Sg. Kembal.

Sementara itu, Pengurus Besar TM Kedah/Perlis, Puan Pauziah Taib dalam ucapannya menyentuh masalah kecurian kabel yang kerap berlaku sejak akhir-akhir ini.

“Ramai yang menyuarakan kekesalan kerana talian telefon dan internet tidak dapat digunakan. Jadi kita minta masyarakat membantu TM kerana kita juga menjadi mangsa kecurian yang begitu kerap berlaku.

“Empat bulan pertama sahaja kecurian dialami memerlukan TM mengadakan penggantian yang melibatkan kos sebanyak RM 4 juta,” ujar beliau.

Menurut Puan Pauziah, adalah lebih baik wang sebanyak itu digunakan untuk membantu rakyat.

Mengatasi masalah tersebut, beliau menjelaskan, TM kini menawarkan alternatif melalui penggunaan teknologi talian telefon secara wireless yang dikenali sebagai CDMA.

Puan Fauziah dalam ucapan yang sama turut menjelaskan kepentingan internet kepada masyarakat selain menawarkan khidmat daripada TM untuk masyarakat seperti kursus internet untuk remaja dan kaum ibu.

Pegawai Daerah Baling, Tuan Haji Noh Dahaya yang turut berucap pada program itu menyeru masyarakat mencontohi rasa tanggung jawab masyarakat Jepun.

Katanya, masyarakat Jepun prihatin dan mengambil tanggung jawab bersama lebih-lebih lagi perkara yang berkaitan undang-undang negaranya.

Ujar beliau, dengan sikap seperti itu jenayah yang berlaku dalam masyarakat akan dapat diminimakan.

Turut menjayakan program tersebut ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Ketil, YB Tuan Haji Md. Zuki Yusof, Ketua Balai Polis Kuala Ketil, SM Mohd. Nasir Omar, Pegawai Agama Daerah Baling, Tuan Syeikh Muhamad Awang, Penghulu Mukim Teloi Kanan, Encik Jamani Jamaluddin, Penghulu Mukim Tawar, Encik Abdull Latif Ismail dan Penghulu Mukim Bakai, Encik Saiful Akram Ismail.