Monday, October 6, 2008

PROGRAM TM BERSAMA MASYARAKAT




KUALA KETIL – Telekom Malaysia Berhad (TM) terus meluaskan komunikasinya apabila menganjurkan Program TM Bersama Masyarakat (Printis Kristal) dengan kerjasama Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) Kuala Ketil di Kg. Kuala Samak, 22 Jun lalu.

Pelbagai aktiviti dijalankan pada program tersebut antaranya gotong-royong dan pertandingan mewarna kanak-kanak pra-sekolah. TM menyumbangkan RM9,000 untuk membaikpulih Surau Darul Qur‘an, Kg. Kuala Samak selain peruntukan untuk membina kemudahan tandas. Selain itu, 10 orang fakir miskin turut dipilih menerima sumbangan dari TM.

Pada program berkenaan, masyarakat setempat turut berpeluang berurusan di kaunter-kaunter TM yang dibuka dengan menawarkan pelbagai perkhidmatan TM selain dialog dan menikmati jamuan tengahari. Turut memeriahkan majlis, persembahan nasyid yang disampaikan oleh pelajar-pelajar dari Madrasah Raudhatul Muslimin, Sg. Kembal.

Sementara itu, Pengurus Besar TM Kedah/Perlis, Puan Pauziah Taib dalam ucapannya menyentuh masalah kecurian kabel yang kerap berlaku sejak akhir-akhir ini.

“Ramai yang menyuarakan kekesalan kerana talian telefon dan internet tidak dapat digunakan. Jadi kita minta masyarakat membantu TM kerana kita juga menjadi mangsa kecurian yang begitu kerap berlaku.

“Empat bulan pertama sahaja kecurian dialami memerlukan TM mengadakan penggantian yang melibatkan kos sebanyak RM 4 juta,” ujar beliau.

Menurut Puan Pauziah, adalah lebih baik wang sebanyak itu digunakan untuk membantu rakyat.

Mengatasi masalah tersebut, beliau menjelaskan, TM kini menawarkan alternatif melalui penggunaan teknologi talian telefon secara wireless yang dikenali sebagai CDMA.

Puan Fauziah dalam ucapan yang sama turut menjelaskan kepentingan internet kepada masyarakat selain menawarkan khidmat daripada TM untuk masyarakat seperti kursus internet untuk remaja dan kaum ibu.

Pegawai Daerah Baling, Tuan Haji Noh Dahaya yang turut berucap pada program itu menyeru masyarakat mencontohi rasa tanggung jawab masyarakat Jepun.

Katanya, masyarakat Jepun prihatin dan mengambil tanggung jawab bersama lebih-lebih lagi perkara yang berkaitan undang-undang negaranya.

Ujar beliau, dengan sikap seperti itu jenayah yang berlaku dalam masyarakat akan dapat diminimakan.

Turut menjayakan program tersebut ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Ketil, YB Tuan Haji Md. Zuki Yusof, Ketua Balai Polis Kuala Ketil, SM Mohd. Nasir Omar, Pegawai Agama Daerah Baling, Tuan Syeikh Muhamad Awang, Penghulu Mukim Teloi Kanan, Encik Jamani Jamaluddin, Penghulu Mukim Tawar, Encik Abdull Latif Ismail dan Penghulu Mukim Bakai, Encik Saiful Akram Ismail.

1 comment:

zack star said...

thanks cikgu kee atas jasa baik semua