Thursday, November 27, 2008

Monday, November 17, 2008

KEDAH ADALAH NEGERI TERTUA DI NEGARA INI
Oleh: WADIASSOFI JAAFAR
ALOR STAR, 13 November: Negeri Kedah adalah negeri tertua di negara ini dan ia telah wujud seawal kurun ke-4 di mana ini terbukti dengan jumpaan arkeologi di Lembah Bujang dan merupakan negeri yang pertama menerima Islam.
Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Yang berbahagia Dato' Dr. Muzahet Masruri berkata, Kesultanan Kedah juga adalah satu-satunya Kesultanan di negara ini yang rentetan salasilah bermula dari tahun 1,136 sehingga sekarang.
"Kebudayaan Kedah amat tinggi nilainya hasil pertembungan kebudayaan luar seperti Cina, India, Arab, Siam, Burma, Inggeris, Portugis, Belanda, Siak, Acheh dan Perancis," jelasnya.
Beliau berkata demikian pada majlis Pengkisahan Sejarah Pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Tuanku Sultan Kedah yang ke-28 di Auditorium Arkib Negara Malaysia Cawangan Kedah/Perlis, di sini.
Beliau berharap pihak Kementerian melalui Jabatan Warisan Negara menjalankan penyelidikan dan kajian yang terperinci tentang sejarah kebudayaan, kesenian dan warisan negeri Kedah Darul Aman.
"Bermula dari tahun 1,136, terdapat sebanyak lapan buah pusat pemerintahan Kesultanan Kedah yang bermula dengan Kota Bukit Meriam dan Kota Sungai Emas di selatan dan setelah itu, ianya berpindah pula ke Kota Si Putih dan Kota Naga di sebelah utara di mana pusat pemerintahan ini kemudiannya bertukar Perlis iaitu ke Kota Sena, Kota Indera Kayangan dan selanjutnya ke Kota Bukit Pinang dan ianya berakhir di Kota Star pada tahun 1735," katanya.
Dato' Dr. Muzahet menegaskan bahawa terdapat 28 orang Sultan yang memerintah di kota-kota tersebut silih berganti selama 872 tahun dan ini jelas membuktikan bahawa negeri Kedah memiliki sistem beraja dan institusi Kesultanan terawal di Nusantara.
Ujarnya, rakyat negeri Kedah amat bersyukur kehadrat Allah SWT kerana dengan keizinan-Nya, KDYMM Tuanku Sultan Kedah Berjaya mencapai dan menduduki takhta pemerintahan yang ke-50 tahun dan telah sama-sama dirayakan bermula pada 14 Julai 2008.
"Di samping mengucapkan tahniah di atas kejayaan cemerlang pemerintahan Tuanku Sultan Kedah selama 50 tahun, kita tidak lupa berdoa kepada Allah SWT agar baginda dikurniakan Allah SWT agar terus berada dalam keadaan sihat walafiat dan terus memerintah negeri ini dengan penuh kedaulatan dan kebesaran serta semoga negeri Kedah Darul Aman terus berada dalam keadaan aman damai dan sejahtera," jelasnya.
Tambahnya, kurniaan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pengurusan Pembangunan) oleh Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok pada majlis Konvokesyen Diraja baru-baru ini merupakan satu pengiktirafan yang tinggi kepada pemerintahan, bimbingan dan restu KDYMM Tuanku Sultan Kedah kerana dalam tempoh 50 tahun ini telah Berjaya meletakkan negeri Kedah antara negeri yang sejahtera dan rakyat jelata dapat hidup dalam keadaan aman dan selesa.
Beliau berkata, bermula dari abad keempat belas telah berlaku persaingan antara barat dan timur untuk menguasai perdagangan dan politik di Kedah dan sungguh pun begitu, segala rintangan tersebut dapat diatasi dan Kesultanan Kedah tetap dapat berdiri teguh serta berkesinambungan hingga ke hari ini.
Posted by Warta Darul Aman Daily at 10:38 AM

No comments: